Photobucket

Penulisan puisi oleh ulama Asia Tenggara

Posted by ::ZAZ::

TIADA dapat dinafikan bahawa apabila kita membicarakan syair dan nazam di Asia Tenggara, sebahagian besar para sarjana sastera berpendapat telah dimulai oleh Sheikh Hamzah al-Fansuri.

Sama ada pada satu sudut lain, ada pihak yang memandang beliau sebagai seorang zindiq kerana faham wihdah al-wujudnya, mahupun golongan pengkagum melihat bahawa beliau adalah seorang siddiq. Bagi yang pro atau kontra kepadanya, mereka turut bersependapat bahawa beliau adalah seorang cerdik cendekiawan Islam-Melayu, atau dengan perkataan lain, Hamzah al-Fansuri adalah seorang ulama sufi.

Peranan para ulama silam Melayu di bidang penulisan dalam bentuk prosa ataupun puisi memang terbukti dengan peninggalan-peninggalan mereka yang cukup banyak dan sangat berpengaruh terhadap rumpun Melayu.

Karya-karya mereka dalam bentuk prosa di sana sini telah diperkenalkan, akan tetapi mengenai senarai nama para ulama dan puisi-puisi Melayu (terutama genre syair dan nazam) gubahan ulama kita secara lengkap belum pernah diperkenalkan.

Kumpulan puisi Raja Ali Haji telah diusahakan oleh Abu Hassan Sham yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Kumpulan puisi Sheikh Ahmad al-Fathani pula telah selesai penyusunannya oleh penulis sendiri, yang dapat dirujuk buku berjudul Sheikh Ahmad al-Fathani: Pemikir Agung Melayu dan Islam, Jilid 2, yang diterbitkan oleh Khazanah Fathaniyah.

Umum mengetahui bahawa Raja Ali Haji dan Sheikh Ahmad al-Fathani adalah ulama. Apabila kita kaji dengan teliti bahawa puisi Melayu ada yang digubah oleh ulama dan ada pula yang digubah oleh orang biasa.

Di antara mereka pula ada yang kita ketahui identitinya sebagai seorang ulama, tetapi tidak kurang pula yang tidak dapat dikesan. Adakah dia seorang ulama ataupun bukan, walaupun sesetengah namanya diketahui.

Artikel kali ini cuba memperkenalkan beberapa nama penggubah syair/nazam Melayu yang telah dikenalpasti identitinya sebagai seorang ulama.

Ulama penggubah puisi abad 16-17

Sebagaimana disebutkan di atas bahawa penggubah syair pertama dalam bahasa Melayu adalah Sheikh Hamzah al-Fansuri. Tokoh ini sangat banyak diminati oleh para pengkaji/sarjana, baik pengkaji/sarjana tempatan mahupun dunia luar terutama orang Barat.

Sungguhpun demikian masih dianggap sukar mendapatkan karya-karya Sheikh Hamzah al-Fansuri dalam bentuk tulisan Melayu/Jawi, sama ada dalam bentuk manuskrip mahupun berupa bahan cetakan.

Bagi penulis, menemukan atau mengesan manuskrip karyanya lebih mudah berbanding karya-karya dalam bentuk cetakan Melayu/Jawi.

Sampai sekarang keseluruhan puisi Hamzah Fansuri yang terkumpul dalam sebuah buku yang lengkap belum ditemui, walaupun sebuah buku yang padat membicarakan pelbagai aspek Hamzah al-Fansuri telah ditulis oleh Syed M. Naquib al-Attas.

Ulama penggubah puisi abad ke-18

Ulama yang sezaman dengan Hamzah al-Fansuri mahupun sesudahnya seperti Sheikh Syamsuddin al-Sumatra-i, Sheikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri dan lain-lain walaupun diketahui banyak menghasilkan karya dalam corak prosa, tetapi tidak dapat dikesan karya mereka yang bercorak puisi.

Hingga abad ke-18, zaman kemunculan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, beliau ini banyak menghasilkan karya bercorak prosa, tetapi hanya sedikit saja menghasilkan karya bercorak puisi.

Karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang bercorak puisi dari awal karya hingga akhir hanya sebuah sahaja, iaitu yang diberi judul 'Iqdu al-Jawahir, berupa syair mengenai akidah. Syair ini beliau syarah sendiri sehingga menghasilkan sebuah kitab yang besar diberi judul Ward al-Zawahir bi Alfaz 'Iqdi al-Jawahir.

Di sini ada perbezaan dengan Ruba'i Hamzah Fansuri, tidak disyarah oleh Hamzah al-Fansuri sendiri tetapi disyarah oleh Sheikh Syamsuddin Sumatra-i.

Selain itu, dari karyanya yang bercorak prosa hanya banyak terdapat dalam Jam'u al-Fawaid saja. Di beberapa tempat lain pula terdapat sisipan beberapa puisi mengenai shalawat dan lain-lain.

Selain Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ulama yang seangkatan dengan beliau juga tidak dapat dikesan sebagai penggubah puisi, sehingga muncul peringkat murid beliau, ialah Raja Ali Haji, pujangga bahasa Melayu yang terkenal. Sewaktu Raja Ali Haji bersama ayahnya ke Mekah tahun 1243 H/1827 M, beliau sempat belajar daripada Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Jika dibandingkan beberapa baris bahagian mukadimah Gurindam Dua Belas Raja Ali Haji, terdapat persamaan maksudnya dengan mukadimah syair Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam 'Iqdu al-Jawahir.

Bagaimanapun, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani lebih banyak dibicarakan pada sektor ketokohannya sebagai ulama, sedang Raja Ali Haji lebih banyak dibicarakan sebagai tokoh bahasa Melayu.

Sebagaimana Sheikh Hamzah al-Fansuri, demikianlah Raja Ali Haji sudah cukup banyak dibicarakan. Setiap kali seminar bahasa, terlalu banyak orang membicarakan tentang ulama dan tokoh besar golongan bangsawan yang berasal dari Riau itu.

Pengumpulan puisi yang dimuat dalam satu buku khas nampaknya Raja Ali Haji mendahului tokoh-tokoh lainnya.

Buku tersebut diberi judul Puisi-puisi Raja Ali Haji, oleh Abu Hassan Sham, merupakan penerbitan pertama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tahun 1993.

Buku tersebut juga merupakan salah satu projek Bahagian Sastera DBP. Buku yang tebalnya 803 halaman termasuk halaman Bibliografi dan Indeks itu mungkin buku pertama hasil usaha pengumpulan hasil puisi Melayu yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh sasterawan kita yang terkenal.

Demikian nama Raja Ali Haji menjulang tinggi sejak beliau hidup, hingga masih segar di ingatan para pencinta sastera klasik dunia Melayu pada zaman moden sehingga kini.

Sezaman dengan Raja Ali Haji ialah Saiyid Muhammad bin Zainal Abidin al-Aidrus (1795 - 1878 M) yang berasal dari Terengganu. Beliau ini juga sempat belajar kepada Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Mekah.

Datuk Misbaha dalam tulisannya menyebut bahawa Saiyid Muhammad al-Aidrus adalah sebagai 'Pelopor dan Bapa Kesusasteraan Melayu Terengganu' (majalah Pesaka, 1983:87).

Selanjutnya digelar juga dengan Tukku Tuan Besar. Beliau adalah seorang ulama yang mengarang dalam bentuk prosa dan puisi. Mengenai puisinya yang paling popular dan berpengaruh ialah berjudul Kanzil Ula.

Harun Mat Piah dalam bukunya Puisi Melayu Tradisional (1989) telah membahas kandungan Kanzil Ula dan Jauharus Saniyah secara ilmiah dan panjang lebar, kedua-dua judul itu dikategorikan karya tersebut sebagai nazam.

Kedua-dua ulama penggubah puisi peringkat murid Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani itu, Raja Ali Haji (Riau) lebih banyak mendapat liputan penulisan antarabangsa dan dunia Melayu jika dibandingkan dengan Tukku Tuan Besar (Terengganu) yang masih baru diperkenalkan oleh para sarjana dan pengkaji.

Ulama-ulama penggubah puisi abad ke-19

Pada abad ke-19, barulah ramai ulama dunia Melayu menyerlahkan diri mereka yang berperanan aktif sebagai penggubah puisi Arab dan Melayu.

lSheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani,

lSheikh Muhammad Zainuddin al-Sumbawi,

lSheikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi (Aceh),

lSheikh Muhammad Azhari bin Abdullah al-Falimbani,

lSheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga (Riau),

lSheikh 'Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani (Pontianak),

lSheikh Muhammad Tahir Jalaluddin al-Minkabawi,

lHaji Muhammad Husein bin Abdul Latif al-Fathani,

lHaji Abdur Rauf Melaka,

lSheikh Muhammad Shalih al-Fathani

lRaja Haji Muhammad Sa'id Riau.

Maklumat beberapa puisi yang telah dihasilkan oleh ulama-ulama yang tersebut diringkaskan sebagai yang tersebut di bawah ini:

Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani

Hamzah al-Fansuri dan Raja Ali Haji kedua-duanya adalah ulama Melayu merupakan lambang terbesar penggubah puisi Melayu pada zamannya. Maka demikian halnya Sheikh Ahmad al-Fathani adalah lambang terbesar dalam hal yang sama pada abadnya.

Bahkan ketiga-tiga ulama dan tokoh yang tersebut memang merupakan penggubah puisi Melayu yang produktif, meninggalkan hasil gubahan puisi yang terbanyak jika dibandingkan dengan semua tokoh Melayu setiap zaman dari dulu hingga kini.

Bezanya hanyalah Hamzah al-Fansuri dan Raja Ali Haji telah banyak diperkenalkan, sedang Sheikh Ahmad al-Fathani belum begitu banyak.

Ada pun khas mengenai sejarah hidup serta puisi-puisi gubahan Sheikh Ahmad al-Fathani telah penulis kumpulkan dan dimuat dalam buku Sheikh Ahmad al-Fathani: Pemikir Agung Melayu dan Islam, Jilid 1 dan 2.

Dengan diterbitkan buku tersebut, bererti merupakan buku yang kedua kumpulan puisi Melayu sesudah buku Puisi-puisi Raja Ali Haji yang telah disebutkan di atas.

Raja Ali Haji hidup antara tahun 1809 - 1870 M, manakala Sheikh Ahmad al-Fathani pula hidup antara tahun 1272 H/1856 M - 1325 H/1908 M.

Ini bererti sewaktu Raja Ali Haji wafat, Sheikh Ahmad al-Fathani berusia sekitar 14 tahun. Dengan demikian, secara tidak langsung Sheikh Ahmad al-Fathani merupakan penyambung aktiviti bahasa dan sastera yang dijalankan oleh Raja Ali Haji. Ini bererti bahawa dunia Melayu tidak pernah kekeringan tokoh penyair atau penggubah puisi.

Puisi Sheikh Ahmad al-Fathani yang pertama dalam bahasa Melayu bercorak nazam ditulis dalam usia 15 tahun, pada tahun 1287 H, diberi judul Nazam Nuril Anam ditulis sewaktu berada di dalam Masjidil Haram, Mekah.

Karya puisi beliau yang pertama dalam bahasa Arab ialah Jumanat at-Tauhid (diselesaikan di Mesir, 1293 H/ 1876 M), ditulis dalam Masjid Jamik Al-Azhar, Mesir.

Nazam Nuril Anam ditinjau dari segi genre nazam banyak persamaan model susunan dan gaya bahasanya dengan Kanzil Ula karya Tukku Tuan Besar Terengganu, tetapi jika ditinjau dari segi kandungan maka Nazam Nuril Anam jauh lebih lengkap daripada Kanz al-'Ula. Nazam Nuril Anam Sheikh Ahmad al-Fathani membicarakan mulai kelahiran Nabi Muhammad SAW dan menyentuh hampir keseluruhan aspek Islam, sedangkan Kanzil Ula Tukku Tuan Besar Terengganu yang dibicarakan hanya di persekitaran riwayat kelahiran Nabi Muhammad SAW saja.

Keseluruhan puisi Sheikh Ahmad al-Fathani, baik berbahasa Arab mahupun bahasa Melayu yang banyak disiarkan dalam hampir semua kitab yang ditashihnya, diletakkan di bahagian depan ataupun di bahagian belakang penerbitan itu. Selain itu ada pula yang masih dalam bentuk manuskrip.

Sheikh Muhammad Zainuddin al-Sumbawi

Beliau ini adalah seorang ulama yang berasal dari Sumbawa (Indonesia) yang tinggal di Mekah dan mengajar di Masjid al-Haram, Mekah. Ditinjau dari segi sejarah perkembangan Islam di Asia Tenggara beliau adalah termasuk ulama dan tokoh penting, tetapi ditinjau dari segi seorang penyair tidaklah begitu menonjol. Hanya sedikit puisinya dapat disemak dalam sebuah karyanya yang berjudul Sirajul Huda.

Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi

Beliau adalah seorang ulama yang berasal dari Aceh. Kurang begitu jelas apakah ada dua orang yang bernama Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib itu, kerana selain disebutkan berasal dari Aceh ada pula yang di hujung namanya memakai nama "al-Minankabawi".

Baik yang memakai nama "al-Asyi" (pada semua kitab karyanya), mahupun yang memakai "al-Minankabawi" (dalam surat menyurat.

Nama sama, tetapi di hujung berlainan. Namun kedua-duanya ada hubungan dengan aktiviti Sheikh Ahmad al-Fathani.

Ulama bernama Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi (di Mekah) dilantik oleh Sheikh Ahmad al-Fathani sebagai pentashih kitab Melayu/Jawi pada saksi yang dikarang oleh ulama-ulama Aceh.

Pada kitab-kitab yang ditashihnya itulah kita dapat mengenal beberapa puisi Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi. Bagi yang memakai nama "al-Minankabawi", di hujung nama pula ditugaskan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani sebagai Rais Thalabah (Mahasiswa) Melayu di Mesir.

Namun penulis lebih cenderung beranggap bahawa Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib yang berasal dari Jawi itu hanya satu orang sahaja, walaupun di hujung nama berbeza. Puisi-puisi Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi terdapat pada cetakan Jam'u Jawami' al-Musannafat, cetakan Taj al-Muluk, cetakan Muqadimat al-Mubtadiin dan lain-lain.

Sheikh Muhammad Azhari bin Abdullah al-Falimbani

Beliau adalah ulama yang berasal dari Palembang, merupakan ulama produktif dalam penulisan sesudah Sheikh Abdus Samad al-Falimbani yang terkenal itu. Sheikh Abdus Samad al-Falimbani juga menghasilkan puisi sama ada bahasa Melayu, mahupun bahasa Arab, berbeza dengan Sheikh Muhammad Azhari al-Falimbani bahawa beliau menghasilkan puisi dalam bahasa Melayu saja.

Puisi-puisi Sheikh Muhammad Azhari al-Falimbani terdapat dalam karyanya Badi'uz Zaman. Puisi-puisi tersebut telah penulis transliterasi dan dimuat dalam buku Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani: Shufi dan Jihad Dunia Melayu (cetakan 1995).

Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga

Ulama yang berasal dari Riau ini adalah seorang tokoh bahasa Melayu yang cukup terkenal di Mekah pada zamannya sehingga beliau digelar 'Qus Bahasa Melayu'.

Beliau menghasilkan beberapa buah karangan dalam bentuk prosa, dan puisi-puisinya. Hampir semua karyanya dalam bentuk prosa ada dalam simpanan penulis, tetapi belum ditemui yang berupa puisi, sungguhpun dikatakan beliau banyak menghasilkan karangan berbentuk puisi.

Sheikh 'Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani

Beliau adalah murid Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, yang banyak menghasilkan karya. Puisi-puisi Sheikh 'Utsman al-Funtiani ditemui dalam karyanya yang berjudul Fath al-Makkah.

Ada yang merupakan terjemahan dari bahasa Arab ke bahasa Melayu, tetapi sajak pada rima akhir setiap puisi tetap dikekalkan. Ada pula merupakan ciptaan sendiri bukan terjemah.

Keterbatasan ruangan ini mengehadkan perbicaraan ini dibicarakan sepenuhnya. Maka ia dilanjutkan pada ruangan akan datang dengan memperkenalkan pula ulama-ulama lain yang turut terlibat dalam penulisan puisi di Asia Tenggara.

Selebihnya yang akan dibicarakan adalah Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin al-Minkabawi, Haji Muhammad Husein bin Abdul Latif al-Fathani, Haji Abdur Rauf Melaka, Sheikh Muhammad Shalih al-Fathani dan Raja Haji Muhammad Sa'id Riau.


0 comments:

Post a Comment