Photobucket

JASA GURU

Posted by ::ZAZ::

Guru Pembina Negara Bangsa



Festival Hari Guru sempena sambutan Hari Guru Kebangsaan yang akan diadakan bermula 14 Mei sehingga 17 Mei di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) dijangka diadakan secara besar-besaran.

Antara yang menarik ialah Terowong Masa (Time tunnel) yang akan memaparkan sejarah pendidikan negara dan perguruan di negara ini.

Dengan tema Hari Guru iaitu, Guru Pembina Negara Bangsa, terowong berkenaan akan memaparkan gambar-gambar era pendidikan sejak 1800 iaitu permulaan pendidikan sekolah pondok sehinggalah pendidikan alaf baru.

Selain itu lebih banyak gambar-gambar bersejarah tentang era pendidikan guru termasuk tokoh-tokoh pendidik yang belum pernah dipertontonkan kepada orang ramai akan dipamerkan pada festival tersebut.

Evolusi sejarah profesionalisme perguruan juga akan dipamerkan yakni bermula dengan pendidikan guru di maktab yang menganugerahkan sijil sehinggalah ia menganugerahkan diploma dan ijazah.

Terowong Masa itu turut mempamerkan gambar-gambar perkembangan pendidikan setiap abad termasuk perkembangan guru alaf baru dengan wujudnya Prasekolah, Sekolah Wawasan, Sekolah Integrasi, Sekolah Sukan, Sekolah Seni, Sekolah Integriti dan Sekolah Kluster.

Buat pertama kalinya, festival tersebut akan mempamerkan hasil inovasi guru-guru yang memenangi pelbagai pertandingan inovasi mengenai pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Sementara itu, Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Pameran dan Pelancaran Buku sempena perayaan Hari Guru yang bermesyuarat di Kementerian Pelajaran menjangka pameran itu akan menarik minat guru dan pelajar sekolah di sekitar pantai timur.

Ini kerana banyak yang boleh dipelajari oleh warga pendidikan contohnya mengenai sejarah dan perkembangan dasar-dasar pendidikan negara ini.

Justeru seluruh warga pendidikan di sekitar pantai timur perlu mengambil peluang untuk datang melawat festival berkenaan.

Sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan kali ini adalah yang kali kedua diadakan di Terengganu.

Kali pertama diadakan di negeri itu ialah pada tahun 1996 di Wisma Darul Iman.

0 comments:

Post a Comment