Photobucket

Bank Islam mega

Posted by ::ZAZ::

Oleh Johari Ibrahim dan Kamarulzaidi Kamis
bhnews@bharian.com.my

Malaysia tawar pelabur asing buka dua bank Islam dengan modal berbayar RM3.59 bilion

PUTRAJAYA: Kerajaan semalam mempelawa pelabur asing menubuhkan dua bank Islam mega di negara ini dengan modal berbayar lebih AS$1 bilion (RM3.59 bilion) setiap satu bagi mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam utama antarabangsa.

Penubuhan bank Islam mega, yang ekuitinya boleh dimiliki sehingga 100 peratus oleh pelabur asing itu ditawarkan sebagai sebahagian proses liberalisasi sektor perkhidmatan kewangan, diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam.

Tawaran itu adalah pertama seumpamanya kerana ketika ini belum ada bank Islam bersaiz sedemikian beroperasi di mana-mana tempat di dunia dan ia dijangka mampu membantu melonjakkan lagi sektor perbankan Islam global.

Pada sidang media mengumumkan pakej liberalisasi itu di pejabatnya di sini, Najib berkata kerajaan juga menawarkan dua lagi lesen bagi penubuhan syarikat takaful keluarga untuk memantapkan lagi industri perkhidmatan kewangan Islam.

Turut ditawarkan ialah penubuhan sehingga lima lagi bank perdagangan baru yang ekuitinya boleh dimiliki pelabur asing sehingga 100 peratus, dengan masing-masing dua lesen akan dikeluarkan tahun ini, manakala tiga lagi pada 2011.

Najib yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan kelonggaran untuk pelabur asing meningkatkan had pegangan ekuiti mereka daripada 49 peratus kepada sehingga 70 peratus dalam bank pelaburan, bank Islam, syarikat insurans dan pengendali takaful di negara ini.

Serentak itu, semua 13 bank perdagangan asing sedia ada diperbadankan di negara ini, juga dibenarkan membuka sehingga empat cawangan baru di lokasi yang sudah ditetapkan tahun depan dan 10 cawangan pembiayaan mikro tahun ini.

"Kelonggaran ini dijangka mampu memperkukuh potensi perniagaan dan meningkatkan prospek pertumbuhan institusi kewangan menerusi pemerolehan kepakaran antarabangsa serta rangkaian hubungan global milik pelabur asing.

"Ia juga akan memberi fleksibiliti kepada institusi kewangan asing yang beroperasi di Malaysia bagi memperluaskan jangkauan produk serta perkhidmatan masing-masing menerusi pembukaan cawangan baru," katanya.

Hadir sama Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Mohd Husni Hanadzlah; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.

Rabu lalu, Perdana Menteri mengumumkan liberalisasi 27 sektor kecil perkhidmatan dengan memansuhkan syarat pegangan ekuiti tempatan bagi menarik pelaburan asing, teknologi dan menjana peluang pekerjaan bertaraf tinggi.

Antara sektor kecil itu ialah perkhidmatan dalam bidang komputer dan yang berkaitan; pelancongan; kesihatan dan sosial; pengangkutan; sukan dan rekreasi; perniagaan; sewaan/pajakan tanpa operator serta pengangkutan sokongan dan bantuan.

Ketika mengumumkan perkara itu, kerajaan juga memberi komitmen untuk akan membuka pasaran sektor kecil perkhidmatan lain secara berperingkat kerana perkhidmatan yang disasarkan itu menjadi sektor pertumbuhan baru ekonomi.

Najib berkata, secara dasarnya, liberalisasi pasaran perkhidmatan kewangan yang diumumkan semalam bertujuan memastikan Malaysia tidak tercicir daripada meraih manfaat maksimum hasil pengukuhan hubungan antarabangsa dan peningkatan prestasi tahap lebih tinggi.

Usaha itu sekali gus dapat membantu meningkatkan lagi sumbangan sektor perkhidmatan kewangan kepada ekonomi Malaysia keseluruhannya sejajar fungsinya sebagai antara komponen terpenting.

Bagi memastikan bank perdagangan domestik sedia ada kekal kukuh dan terus mampu menguasai lebih 50 peratus pasaran tempatan, kerajaan mengekalkan had pegangan ekuiti asingnya pada tahap 30 peratus.

Tawaran menubuhkan masing-masing dua bank Islam mega, bank perdagangan dan takaful keluarga itu dibuka hingga 31 Oktober ini dan pemohon yang berjaya boleh memulakan operasi dalam tempoh setahun selepas ia diluluskan.

Perdana Menteri berkata, liberalisasi pasaran kewangan itu akan juga menyediakan akses kepada produk dan perkhidmatan bertaraf dunia, meningkatkan hubungan antarabangsa, menggalakkan integrasi serantau serta mempromosi Malaysia sebagai pusat perkhidmatan perkongsian dan penyumberan luar.

Lesen bank perdagangan yang ditawarkan tahun ini dibuat kepada peserta asing yang mampu membawa kepakaran khusus seperti dalam bidang pertanian, infrastruktur, perkhidmatan, teknologi dan sebagainya.

Sementara itu, tiga lagi lesen bank perdagangan baru akan ditawarkan pada 2011 itu dibuat kepada bank antarabangsa bertaraf dunia yang mampu membawa cadangan nilai yang bermanfaat kepada Malaysia.

Sejajar pakej liberalisasi itu, kerajaan juga memberi kelonggaran kepada syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat Luar Pesisir 1990, untuk menubuhkan pejabat operasi dan pengurusan di ibu negara berkuat kuasa 1 Jun ini.

"Bagi menyediakan persekitaran perniagaan lebih fleksibel, institusi perbankan luar pesisir yang dilesenkan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (Lofsa), juga diberi kelonggaran untuk beroperasi di dalam negeri (onshore) mulai 2010.

"Syarikat insurans luar pesisir yang dilesenkan oleh Lofsa dan memenuhi kriteria pula akan diberi kebenaran beroperasi di dalam negeri mulai 2011," kata Najib yang menjelaskan langkah itu akan disokong rangka kawal selia yang bersesuaian.

0 comments:

Post a Comment