Photobucket

HARI IBU

Posted by ::ZAZ::



SELAMAT HARI IBU UNTUK BONDA YANG TERSAYANG

DAN JUGA SEMUA PARA IBU YANG ADA DI SELURUH DUNIA INI

" Terima kasih atas segala-galanya... bersusah payah membesarkan kami semua..sanggup melayan kerenah kami yang sgt nakal2 ini... kami doakan agar ummi sihat dan bahagia selalu...

"mmuaah.. sayang ummi.."

Read More..

Kucing 'belajar' di perpustakaan

Posted by ::ZAZ::



FIDEL, kucing hitam berusia lapan tahun, hampir setiap hari sejak dua tahun kebelakangan ini mengunjungi Perpustakaan Daerah Deal yang terletak di Deal, Kent, Britain. Ia mengikuti tuannya yang bekerja di perpustakaan itu.

Fidel akan menghabiskan masa di kerusi biru kegemarannya dan hanya akan meninggalkan perpustakaan apabila tuannya habis bekerja.

Staf perpustakaan itu memberitahu, mereka tidak pernah memberikan sebarang makanan kepada Fidel malah cuba menghalaunya, namun ia kembali semula.


Pengurus perpustakaan, Heater Hilton mengatakan Fidel amat popular di kalangan pengunjung perpustakaan.

"Saya fikir Fidel meminati lukisan kerana sering mengamati lukisan yang tergantung di dinding perpustakaan. Malah Fidel tiba lebih awal daripada pekerja perpustakaan dengan menunggu penuh sabar di pintu utama perpustakaan," ujarnya.

Fidel sebenarnya merupakan kucing terbuang yang diselamatkan tuannya dari sebuah pangsapuri di Deal. - Agensi

Read More..

PELAJAR SEKARANG

Posted by ::ZAZ::

Gubal pendidikan perpaduan

Posted by ::ZAZ::

Oleh ANUAR AHMAD



Malaysia, kata banyak sarjana pendidikan merupakan makmal yang paling sempurna untuk mengkaji tentang perpaduan. Pandangan ini ada benarnya kerana populasi dalam negara ini yang memberikan satu landskap demografi kaum yang sangat unik.

Orang Melayu sebagai kumpulan utama hanyalah sekitar 55 peratus sahaja jumlahnya, tidak termasuk kumpulan bumiputera yang lain manakala bukan Melayu khususnya masyarakat Cina dan India mencapai sekitar 40 peratus. Dengan kata lain majoriti mutlak tidak pernah wujud di negara ini khasnya di kalangan orang Melayu.

Maka itu memiliki perpaduan bukanlah satu anugerah tetapi harus dicari, dibina, diurus dan dikawal dengan baik agar kestabilan dan keharmonian dapat dicapai. Bagi tujuan itu, peranan pendidikan merupakan satu-satu komponen yang sangat penting, berkesan dan ampuh untuk memulakan perpaduan di negara ini.

Sejak zaman berzaman asas utama kepada tujuan pendidikan adalah untuk membina sebuah masyarakat. Maka itu masyarakat bersetuju supaya setiap ahlinya disosialisasi dengan nilai, resam dan norma positif kehidupan bersesuaian dengan amalan masyarakat tersebut.

Hanya selepas revolusi perindustrian di Eropah pada abad yang ke-17, tujuan pendidikan dikembangkan untuk perkara yang lebih materialisme, individualisme dan berteraskan ekonomi. Maka pendidikan mulai berubah daripada asas-asas humanisme kepada kehendak pragmatisme.

Perubahan tujuan pendidikan ini kemudian mulai mengaburi tujuan asal pendidikan untuk pembinaan sebuah masyarakat yang harmoni dan sejahtera.

Maka ini ramai pemikir pendidikan sejak lama dahulu menimbulkan kerisauan mereka jika sesebuah masyarakat gagal memahami dan mengimbangi antara humanisme dan pragmatisme maka tujuan pendidikan yang syumul akan lama-kelamaan akan lenyap dan cair.

Dipercayai juga bahawa sebagaimana hebat kualiti pendidikan untuk pembangunan material tetapi apabila kurang penekanan diberikan kepada pembangunan masyarakat, pada akhirnya masyarakat tersebut akan hilang upaya sosial dan akhirnya akan lemah dan lumpuh keseluruhannya.

Tanda-tanda kelumpuhan pendidikan untuk pembangunan masyarakat banyak sekali di sekeliling kita pada hari ini. Sekadar menyebut beberapa contoh, kegagalan pendidikan Islam menerapkan ketakwaan yang tinggi kepada para pelajar menyebabkan bukan sedikit pelajar beragama Islam hilang moral Muslimnya.

Kisah pembuangan bayi menjadi semakin menyayat hati. Jika dahulu bayi ditinggalkan di surau dan masjid dengan selimut buat pemanas badan bayi, tetapi kini bayi dibuang di tepi jalan dan di dalam tong tong sampah, ada yang dibuang di longkang-longkang hingga menjadi makanan gagak liar. Malah ada yang dibuang di tengah jalan raya hingga menjadi mangsa tayar kereta yang tidak mengenal mangsa.

Seperkara yang paling utama dalam transformasi pendidikan untuk tujuan membina perpaduan negara, suka tidak suka, kita kena juga akui bahawa kita sedang menghadapi masalah perpaduan kaum dalam negara ini.

Masalah ini pula tidaklah begitu menonjol dalam bentuk konflik fizikal tetapi lebih kepada soal persepsi. Maka rasa prejudis dan saling mencurigai mula membina, desakan-desakan kumpulan etnik mula kedengaran.

Bagaimanapun di negara ini perpaduan masih terkawal dan belum menggugat kestabilan akar umbi masyarakat kerana pergolakan perpaduan kaum lebih terjurus kepada 'perangai' serampang dua mata ahli politik tertentu untuk meningkatkan populariti mereka dan juga cuba mengaut keuntungan melalui desakan supaya kaum yang diwakilinya mendapat lebih banyak habuan melebihi daripada apa yang telah dipersetujui oleh masyarakat umum negara ini.

Oleh itu, kedengaranlah desakan seperti penelitian semula pengagihan konsep Dasar Ekonomi Baru (DEB), menghapuskan ketuanan Melayu dan menyamakan agama Islam selaku agama rasmi dengan agama lain sejak setahun yang lalu.

Terbaru, desakan supaya dimasukkan peranan dan sumbangan kumpulan minoriti di dalam mata pelajaran Sejarah negara dan 'membuang' sebahagian sejarah perjuangan orang Melayu sebagai tanda mengimbangi bahawa negara ini milik bersama.

Semua ini nampaknya menuntut satu penelitian semula secara menyeluruh sistem pendidikan kebangsaan yang semakin hari sudah hilang upaya untuk membina jati diri.

Terdapat dua faktor yang menyebabkan berlakunya perubahan dalam menguruskan perpaduan negara. Pertama, sindrom mencari populariti politik yang semakin ketara, kebebasan media, tekanan gerakan masyarakat sivil dan persaingan ekonomi akibat globalisasi.

Jika dahulu soal perpaduan hanya berlegar sekitar soal agihan kuasa politik dan ekonomi, kini perpaduan membentuk spektrum baru dan memerlukan kemahiran baru di pihak kerajaan untuk menguruskannya.

Sebagai contoh, dulu jika sesuatu isu yang berkaitan orang Cina, orang Melayu dan India jarang sekali campur tangan dengan alasan biarlah kaum Cina sendiri menyelesaikan masalah mereka. Hal yang sama juga apabila jika kaum India berhadapan dengan keputusan kerajaan yang mereka tidak suka, orang Melayu dan Cina tidak begitu 'terangsang' untuk menyertainya.

Kini suasana sudah berubah, jika sesuatu isu melanda kaum India, maka sudah ramai orang Melayu dan Cina yang akan memberikan sokongan bukan atas sebab untuk perpaduan tetapi lebih mendapatkan sokongan politik semata-mata.

Oleh itu secara mudah dapat difahami bahawa isu kaum tidak lagi bersifat etnosentrik tetapi isu kaum sudah menjadi kompleks dan lebih sukar diuruskan berbanding dahulu.

Kedua, pengaruh perbandaran dan modenisasi akan menjadikan masyarakat Malaysia tidak lagi dominan dalam zon etnik mereka sahaja tetapi kini mula cair dan berbaur dengan etnik lain.

Sebagai contoh jika dahulu orang Melayu di kampung, orang Cina di bandar dan orang India di ladang, kini dijangka pada tahun 2020 jumlah populasi yang akan tinggal di bandar akan mencecah 70 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini. Dengan erti kata lain perbauran antara kaum akan menjadi satu gambaran biasa dalam masyarakat Malaysia sangat berbeza berbanding 50 tahun lalu.

Oleh demikian, pendidikan untuk perpaduan perlu dikaji dan dirancang semula secara teliti khasnya untuk mendidik anak-anak Malaysia pasca merdeka memahami konsep dan peri penting perpaduan diamalkan dalam kehidupan mereka.

Pelaksanaan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) nampaknya gagal mencapai matlamat secara menyeluruh perpaduan etnik di negara ini. Begitu juga dengan pengajaran mata pelajaran Sejarah dan Pendidikan Kewarganegaraan yang agak longgar membina hubungan etnik seperti yang diharapkan.

Aktiviti ko-kurikulum juga nampak tidak menonjolkan keupayaan perpaduan di kalangan pelajar. Beberapa kajian berkaitan hubungan etnik di institusi pengajian tinggi IPT menunjukkan bahawa pelajar lepasan sekolah jelas tidak mempunyai tahap perpaduan yang memuaskan apabila mereka meninggalkan bangku sekolah.

Dengan itu, satu kursus Modul Hubungan Etnik telah diperkenalkan di IPT supaya pelajar dapat meningkatkan keupayaan perpaduan apabila telah menjadi graduan. Tinggal lagi pelaksanaan kursus ini nampaknya tidak pula memanfaatkan sepenuhnya pendekatan yang dapat membina perpaduan di kalangan pelajar IPT.

Sepatutnya tiga perkara paling asas dalam pendidikan untuk perpaduan dilaksanakan. Pertama, pengetahuan fakta sejarah negara secara jelas dan mendalam, kedua kemahiran kewarganegaraan seperti memiliki kemahiran dan keupayaan tingkah laku menghormati dan bertolak ansur.

Ketiganya, mendidik nilai-nilai positif yang dapat menimbulkan rasa benci kepada perlakuan atau tindakan individu atau kumpulan yang menggunakan perkauman bagi tujuan meraih sokongan, populariti dan juga atas kepentingan peribadi.

Bagaimanapun, penelitian terhadap kursus hubungan etnik di universiti nampaknya hanya cenderung untuk menambahkan pengetahuan sejarah semata-mata tetapi mengabaikan aspek kemahiran kewarganegaraan serta penerapan nilai positif terhadap perpaduan.

Sebenarnya semua pelajar yang memasuki IPT telah melalui pembelajaran sejarah negara sejak tingkatan satu hinggalah tingkatan lima. Mereka bukan sahaja diajar tetapi juga telah dinilai dalam peperiksaan.

Seharusnya modul hubungan etnik di IPT lebih menjurus kepada aspek pembinaan kewarganegaraan dan juga pengukuhan nilai positif perpaduan.

Misalnya separuh bahagian pelaksanaan kursus ini diberikan melalui pengajaran dalam kuliah manakala separuh lagi melalui pengalaman secara hands on kepada pelajar melalui projek khidmat masyarakat, penyelidikan tindakan, aktiviti pembelajaran penyelesaian masalah dan juga melalui penyertaan dalam program dan aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar.

Walaupun banyak faktor luar pendidikan yang sedikit sebanyak akan mengganggu pelaksanaan pendidikan untuk perpaduan seperti pengaruh politik kaum, sejarah etnik 'yang tidak selari dengan sejarah kebangsaan', fokus yang keterlaluan kepada peperiksaan, kaedah pengajaran yang tidak berkesan dan sebagainya, sekurang-kurangnya dengan melalui satu sistem pendidikan untuk perpaduan yang lebih teratur dan selaras, para pelajar akan mempunyai common memory berkaitan sejarah kenegaraan kita.

Apa yang lebih penting melalui pendidikan untuk perpaduan ini, kita bukan sahaja berharap wujudkan perpaduan yang sebenar tetapi lebih jauh dan penting ialah pada akhirnya gagasan 'Satu Malaysia' akan menjadi kenyataan.

Tentu memberikan pandangan dan cadangan lebih mudah daripada merealisasikannya. Oleh itu pihak Kementerian Pelajaran dan juga Kementerian Pengajian Tinggi seharusnya mula menggerakkan perbincangan akademik, merangka kembali struktur kurikulum serta memastikan unsur penilaian dijalankan bagi memastikan wujud atau tidak penambahbaikan perpaduan kepada para pelajar.

Masanya sangat sesuai sekarang untuk pihak kementerian memulakan langkah membina pendidikan untuk perpaduan masyarakat.

Anuar Ahmad ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Read More..

Gelombang ancaman virus H1N1

Posted by ::ZAZ::

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my



BELUM pun bebas sepenuhnya daripada virus selesema burung, rantau Asia kini berdepan pula dengan risiko ancaman virus selesema babi. Ketika ini, virus yang dikesan pertama kali di Mexico itu sudah merebak dengan pantas ke beberapa buah negara bersempadan termasuk di Amerika Syarikat, Kanada malah sehingga ke New Zealand.

Sehingga laporan ini ditulis, 103 rakyat Mexico sudah menjadi korban dalam tempoh beberapa hari ia mula dikesan. Jumlah itu dijangka meningkat melihat kepada betapa pantasnya ia tersebar.

Secara ringkasnya selesema babi ini merupakan penyakit influenza yang disebabkan virus influenza A subjenis H1N1.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) seperti yang dipetik daripada laporan Reuters, beberapa kawasan di Mexico dikesan dijangkiti strain baru virus H1N1 yang belum pernah ditemukan sebelum ini.

Secara genetiknya, virus selesema babi ini berbeza dengan virus influenza manusia H1N1 yang dikesan sebelum ini. Kerana itu juga meskipun virus ini dikenali sebagai virus selesema babi, namun strain baru ini tidak pernah ditemukan pada haiwan ternakan babi.

Ia mengandungi DNA yang menyerupai virus avian, virus babi termasuk elemen daripada virus babi Eropah dan Asia serta virus manusia.

Agensi Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) pula menyebut, virus ini mampu menjangkiti daripada manusia ke manusia. Ia merebak sama ada menerusi bersin, batuk atau dipindahkan daripada tangan mereka yang tidak dicuci dengan bersih.

Sejak Disember 2005 hingga Februari tahun ini, 12 laporan mengenai jangkitan virus itu dicatatkan dengan hanya seorang yang mempunyai hubungan langsung dengan haiwan babi. Ketika itu, belum dibuktikan virus ini menular daripada manusia ke manusia.

Wabak virus selesema babi ini difahamkan pernah dikesan pada 1941 dan membunuh jutaan nyawa di Eropah. Namun sejauh mana kesahihan laporan yang berlegar di beberapa laman sesawang tidak dapat disahkan.

Apa pun, ia secara tidak langsung menggambarkan betapa wabak ini mampu mencetuskan gelombang ancaman yang ganas dan tidak boleh dipandang mudah. Hakikat itu turut diakui oleh pakar virologi dari Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Siti Suri Arshad yang menyifatkan virus itu boleh membawa ancaman yang dahsyat.

Lebih dahsyat berbanding wabak selesema burung dan sindrom pernafasan akut teruk (SARS). Ini kerana katanya, virus itu merupakan kombinasi tiga virus dalam satu iaitu yang biasa ditemui di dalam badan manusia, burung dan babi.

Virus H1N1 sememangnya diketahui wujud dalam badan manusia dan babi. Namun, bagaimana virus itu dapat bercampur dengan virus daripada burung masih lagi menjadi misteri. Sehingga kini menurut Siti Suri, saintis belum dapat memastikan jujukan genom virus tersebut.

"Kerana itu juga virus ini belum ditemukan vaksinnya. Sementelah saintis antarabangsa sebelum ini memberi tumpuan kepada pencarian vaksin bagi virus selesema burung," katanya.

Siti Suri menambah, penyebarannya yang boleh berlaku daripada manusia ke manusia juga menyebabkan virus itu mampu merebak dengan pantas.

Justeru katanya, kaedah pencegahan terbaik yang boleh diambil oleh kerajaan ialah melarang rakyat negara ini berkunjung ke negara yang dilaporkan dijangkiti wabak itu.

"Langkah kuarantin juga perlu diperketatkan terutamanya di kalangan pelancong atau rakyat negara ini yang baru balik dari negara tersebut," tambah beliau.

Meskipun wabak itu hanya dikesan di Eropah ketika ini, namun rantau Asia berhak berasa cemas meskipun diingatkan WHO supaya tidak panik.

Pengalaman berdepan dengan wabak hampir serupa iaitu selesema burung sejak 1997 masih menjadi misteri sehingga kini. Virus H5N1 yang pertama kali dikesan di Hong Kong itu membunuh tidak kurang daripada 247 orang di seluruh dunia.

Indonesia mencatat kematian tertinggi akibat jangkitan virus tersebut iaitu kira-kira 107 orang. Sebelumnya, rantau Asia juga diancam wabak penyakit misteri yang menyamai penyakit radang paru-paru tetapi tidak diketahui puncanya (atypical pneumonia).

Penyakit yang dikenali sebagai SARS itu merebak dengan pantas selepas pertama kali dikesan di Asia Timur. Antara negara Asia yang terbabit dengan dengan SARS ialah Thailand, Singapura, Taiwan, Filipina, Indonesia, Singapura, China dan Hong Kong.

Malaysia sendiri walaupun berjaya mengekang penularan wabak pandemik selesema burung dan SARS itu, bagaimanapun tidak terlepas daripada wabak endemik.

Pada 1998, virus maut Japanese Encephalitis (JE) yang dibawa oleh babi menggemparkan negara apabila membunuh kira-kira 84 nyawa. Virus yang seakan-akan virus Hendra dari Australia itu diberi nama virus Nipah kerana pertama kali ditemui di Kg. Sungai Nipah, Lukut, Negeri Sembilan.

Kehadiran virus baru seperti selesema babi ini sebenarnya sudah diingatkan oleh saintis antarabangsa dalam Persidangan Global WHO Mengenai SARS yang diadakan di ibu negara, kira-kira enam tahun lalu.

Persidangan yang menemukan lebih 1,000 orang saintis dan pakar penyakit berjangkit antarabangsa itu memberi penekanan bahawa virus yang disebarkan oleh haiwan akan bermutasi dengan cepat dan merebak dengan pantas.

Dalam kebanyakan wabak, haiwan seperti ayam, babi atau lembu berperanan mencipta virus selesema jenis baru yang tidak mampu dilawan oleh sistem pertahanan badan manusia.

Bagaimanapun dalam kes selesema burung misalnya, virus itu tidak tersebar kerana sifatnya yang tidak mampu bergerak dari manusia ke manusia yang lain.

Kerana itu juga penularannya berjaya dikekang menerusi langkah membunuh haiwan ternakan itu meskipun ia menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada sektor penternakan.

Namun terdapat beberapa kes jangkitan selesema burung yang berpindah kepada manusia terutamanya di kalangan mereka yang mempunyai hubungan secara langsung dengan haiwan ternakan.

Ia terdiri daripada subjenis virus influenza A yang dikenali dengan kod nama H5N1 dan H9N2. Seperti jenis-jenis influenza yang lain, gejala H1N1 di kalangan pesakit juga tidak banyak bezanya. Ia termasuk demam, sakit tekak, batuk, sakit otot dan dedar.

Simptom lain ialah kurang selera makan, sesak nafas dan boleh merebak menjadi jangkitan paru-paru yang teruk. Sekiranya simptom-simptom ini dikesan dalam kalangan masyarakat, ia perlu segera dirujuk kepada hospital meskipun wabak itu belum dilaporkan di negara ini.

Pengalaman berdepan dengan ancaman wabak SARS dan virus selesema burung meletakkan negara di Asia termasuk Malaysia dalam keadaan penuh bersiap sedia untuk berdepan ancaman virus terbaru itu.

Langkah berjaga-jaga dan tegas yang diambil kerajaan termasuk sekatan serta kuarantin berjaya membendung penyebaran wabak SARS dan selesema burung di negara ini.

Begitu juga dengan nasihat perjalanan dan kawalan di pintu sempadan negara yang diperketatkan bagi mengelakkan kebarangkalian 'kes import' yang dibawa dari luar negara.

Dalam kedua-dua kes wabak pandemik itu, negara terselamat kerana tiada kes jangkitan dalaman yang boleh menjadi pencetus seterusnya merebak ke seluruh negara. Adalah diharapkan, langkah-langkah itu yang semestinya kian dipertingkatkan.

Read More..

Masalah guru diatasi segera

Posted by ::ZAZ::

Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my

Muhyiddin janji selesai semua kelemahan pengurusan sekolah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran memberi jaminan akan segera mengatasi semua kelemahan dalam sistem pengurusan di sekolah termasuk isu guru yang terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk menguruskan program sekolah.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kementerian akan melihat semua kemungkinan untuk mengatasi masalah itu termasuk menambah jumlah wang panjar runcit (petty cash) di sekolah supaya guru tak perlu mendahulukan wang sendiri.

Beliau berkata, isu itu perlu diselesaikan dengan segera kerana adalah tidak wajar guru dibebankan dengan tugas berkenaan lantaran ia tidak termasuk sebagai antara kewajipan guru melaksanakan tugas.

“Meskipun guru biasanya bersedia menjalankan tugas dengan rela hati demi kepentingan pelajar, namun sebagai manusia biasa, mereka juga sering tertekan jika diminta melakukan sesuatu yang di luar kemampuan.

“Justeru, masalah itu perlu diatasi segera dengan kajian mendalam. Saya akan meninjau keadaan itu dengan melihat senario sebenar pada peringkat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan pengurusan sekolah.

“Semua program yang dirancang perlu perancangan lebih teliti dan mengelak daripada membebankan guru. Kita mahu guru berkhidmat dengan selesa supaya dapat menumpukan kepada tugas utama mereka dalam mendidik pelajar,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan khas Berita Harian, Ahad lalu berkenaan rungutan kebanyakan guru lantaran terpaksa mendahulukan duit sendiri untuk menjalankan pelbagai aktiviti sekolah.

Mengulas komen Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan yang bersetuju guru berhak menarik diri daripada melaksanakan program sekolah jika terpaksa mendahulukan wang sendiri, Muhyiddin berkata, ia adalah hak guru, namun mereka perlu mengutamakan tanggungjawab terhadap pelajar.

“Jika ia program tidak wajib, tak salah jika guru mahu menarik diri jika mereka tak mampu. Namun, kebiasaannya apabila ada program yang berserta pekeliling, suka atau tidak, guru perlu mengikuti program itu.

“Guru sering tersepit dalam hal ini. Nak hantar pelajar, tak ada duit dan tak mampu untuk keluarkan duit sendiri. Tak nak hantar, ia adalah arahan yang datang dengan pekeliling.

“Justeru, sewajarnya penganjur iaitu JPN atau PPD memastikan adanya peruntukan untuk program itu supaya guru dapat melaksanakan tugas mereka dengan selesa tanpa ada bebanan lain. Jika tak ada duit, tak payah buat dan guru pun tak payah menyertainya,” katanya.

Beliau berkata, antara misi utamanya sebagai Menteri Pelajaran adalah untuk meningkatkan profesion keguruan dengan melonjakkan imej mereka dalam menjalankan perkhidmatan serta tidak dibebani dengan pelbagai masalah sampingan yang boleh menjejaskan tumpuan mereka.

Sementara itu di JOHOR BAHRU, Bernama melaporkan Muhyiddin semalam meluangkan masa kira-kira sejam bertemu peniaga kecil di Plaza Angsana, di sini selepas menghadiri majlis penutupan Minggu Saham Amanah Malaysia 2009 di padang bersebelahan plaza itu.

Muhyiddin dan isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman yang diiringi Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri Datin Prof Dr Jamilah Ariffin; Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Mohd Ali Hassan; Datuk Bandar Johor Baharu Datuk Mohd Naim Nasir dan beberapa Exco kerajaan negeri tiba di plaza itu kira-kira 12 tengah hari.

Read More..

Bank Islam mega

Posted by ::ZAZ::

Oleh Johari Ibrahim dan Kamarulzaidi Kamis
bhnews@bharian.com.my

Malaysia tawar pelabur asing buka dua bank Islam dengan modal berbayar RM3.59 bilion

PUTRAJAYA: Kerajaan semalam mempelawa pelabur asing menubuhkan dua bank Islam mega di negara ini dengan modal berbayar lebih AS$1 bilion (RM3.59 bilion) setiap satu bagi mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam utama antarabangsa.

Penubuhan bank Islam mega, yang ekuitinya boleh dimiliki sehingga 100 peratus oleh pelabur asing itu ditawarkan sebagai sebahagian proses liberalisasi sektor perkhidmatan kewangan, diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam.

Tawaran itu adalah pertama seumpamanya kerana ketika ini belum ada bank Islam bersaiz sedemikian beroperasi di mana-mana tempat di dunia dan ia dijangka mampu membantu melonjakkan lagi sektor perbankan Islam global.

Pada sidang media mengumumkan pakej liberalisasi itu di pejabatnya di sini, Najib berkata kerajaan juga menawarkan dua lagi lesen bagi penubuhan syarikat takaful keluarga untuk memantapkan lagi industri perkhidmatan kewangan Islam.

Turut ditawarkan ialah penubuhan sehingga lima lagi bank perdagangan baru yang ekuitinya boleh dimiliki pelabur asing sehingga 100 peratus, dengan masing-masing dua lesen akan dikeluarkan tahun ini, manakala tiga lagi pada 2011.

Najib yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan kelonggaran untuk pelabur asing meningkatkan had pegangan ekuiti mereka daripada 49 peratus kepada sehingga 70 peratus dalam bank pelaburan, bank Islam, syarikat insurans dan pengendali takaful di negara ini.

Serentak itu, semua 13 bank perdagangan asing sedia ada diperbadankan di negara ini, juga dibenarkan membuka sehingga empat cawangan baru di lokasi yang sudah ditetapkan tahun depan dan 10 cawangan pembiayaan mikro tahun ini.

"Kelonggaran ini dijangka mampu memperkukuh potensi perniagaan dan meningkatkan prospek pertumbuhan institusi kewangan menerusi pemerolehan kepakaran antarabangsa serta rangkaian hubungan global milik pelabur asing.

"Ia juga akan memberi fleksibiliti kepada institusi kewangan asing yang beroperasi di Malaysia bagi memperluaskan jangkauan produk serta perkhidmatan masing-masing menerusi pembukaan cawangan baru," katanya.

Hadir sama Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Mohd Husni Hanadzlah; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.

Rabu lalu, Perdana Menteri mengumumkan liberalisasi 27 sektor kecil perkhidmatan dengan memansuhkan syarat pegangan ekuiti tempatan bagi menarik pelaburan asing, teknologi dan menjana peluang pekerjaan bertaraf tinggi.

Antara sektor kecil itu ialah perkhidmatan dalam bidang komputer dan yang berkaitan; pelancongan; kesihatan dan sosial; pengangkutan; sukan dan rekreasi; perniagaan; sewaan/pajakan tanpa operator serta pengangkutan sokongan dan bantuan.

Ketika mengumumkan perkara itu, kerajaan juga memberi komitmen untuk akan membuka pasaran sektor kecil perkhidmatan lain secara berperingkat kerana perkhidmatan yang disasarkan itu menjadi sektor pertumbuhan baru ekonomi.

Najib berkata, secara dasarnya, liberalisasi pasaran perkhidmatan kewangan yang diumumkan semalam bertujuan memastikan Malaysia tidak tercicir daripada meraih manfaat maksimum hasil pengukuhan hubungan antarabangsa dan peningkatan prestasi tahap lebih tinggi.

Usaha itu sekali gus dapat membantu meningkatkan lagi sumbangan sektor perkhidmatan kewangan kepada ekonomi Malaysia keseluruhannya sejajar fungsinya sebagai antara komponen terpenting.

Bagi memastikan bank perdagangan domestik sedia ada kekal kukuh dan terus mampu menguasai lebih 50 peratus pasaran tempatan, kerajaan mengekalkan had pegangan ekuiti asingnya pada tahap 30 peratus.

Tawaran menubuhkan masing-masing dua bank Islam mega, bank perdagangan dan takaful keluarga itu dibuka hingga 31 Oktober ini dan pemohon yang berjaya boleh memulakan operasi dalam tempoh setahun selepas ia diluluskan.

Perdana Menteri berkata, liberalisasi pasaran kewangan itu akan juga menyediakan akses kepada produk dan perkhidmatan bertaraf dunia, meningkatkan hubungan antarabangsa, menggalakkan integrasi serantau serta mempromosi Malaysia sebagai pusat perkhidmatan perkongsian dan penyumberan luar.

Lesen bank perdagangan yang ditawarkan tahun ini dibuat kepada peserta asing yang mampu membawa kepakaran khusus seperti dalam bidang pertanian, infrastruktur, perkhidmatan, teknologi dan sebagainya.

Sementara itu, tiga lagi lesen bank perdagangan baru akan ditawarkan pada 2011 itu dibuat kepada bank antarabangsa bertaraf dunia yang mampu membawa cadangan nilai yang bermanfaat kepada Malaysia.

Sejajar pakej liberalisasi itu, kerajaan juga memberi kelonggaran kepada syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat Luar Pesisir 1990, untuk menubuhkan pejabat operasi dan pengurusan di ibu negara berkuat kuasa 1 Jun ini.

"Bagi menyediakan persekitaran perniagaan lebih fleksibel, institusi perbankan luar pesisir yang dilesenkan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (Lofsa), juga diberi kelonggaran untuk beroperasi di dalam negeri (onshore) mulai 2010.

"Syarikat insurans luar pesisir yang dilesenkan oleh Lofsa dan memenuhi kriteria pula akan diberi kebenaran beroperasi di dalam negeri mulai 2011," kata Najib yang menjelaskan langkah itu akan disokong rangka kawal selia yang bersesuaian.

Read More..

ARTIKEL JURNAL

Posted by ::ZAZ::

Implikasi E-Learning terhadap Pengajaran dan Pembelajaran dalam Pendidikan Islam dari aspek Afektif dan Psikomotor.


Abstract


Nowadays, the world was concurred by the modern of information technology. This rapid growth was also fluent in educational sector which the teacher are called to change the teaching strategies in the class towards more efficient and modern strategies. So the main purpose of this ariticle is to expose about the Implication by Using The E-learning program in Islamic Education from afective and psychomotor aspect. There are many implication when we using this program in islamic education. Some implication is positif and some implication is negative. But we just mention about the good implication when using E-learning in Islamic Education. In our opinion, now a days all teachers can admit that technological development can help simplified more lesson and learning process in school.

Abstrak

Sekarang ini, dunia sememangnya pesat membangun dalam era teknologi maklumat sekarang ini, perkembangan pesat itu juga terlibat dalam sektor pendidikan. Oleh itu guru-guru pada zaman ini hendaklah menyediakan diri mereka dengan pelbagai kemahiran dan kaedah pengajaran dalam supaya dapat seiring dengan zaman yang serba maju sekarang ini. Tujuan utama penulisan artikel ini adalah untuk menghuraikan mengenai implikasi salah satu teknologi zaman serba moden ini iaitu E-Learning itu terhadap pendidikan islam dari aspek afektif dan psikomotor. Terdapat pelbagai implikasi yang timbul akibat penggunaan aplikasi E-learning ini. Ada antaranya yang positif dan ada juga yang negatif. Akan tetapi di sini kami hanya membincangkan implikasi positif E-learning terhadap Pendidikan Islam sahaja. Sebagai kesimpulannya kami berpendapat bahawa perkembangan teknologi yang ada pada hari banyak membantu mempermudahkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Kata kunci

E –learning dalam pendidikan islam, implikasi terhadap pengajaran dan pembelajaran, aspek Afektif dan Psikomotor.


1. Pengenalan


Kemajuan dalam Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) ternyata telah mengubah cara manusia bekerja, berfikir, bermain, belajar dan tidak ketinggalan juga cara berperang. Kehidupan manusia dihujani dengan pelbagai pertanyaan yang semuanya menjurus ke arah bagaimana Teknologi lebih boleh berperanan untuk meningkatkan lagi kualiti hidup manusia. Malaysia juga tidak terkecuali daripada arus ICT yang melanda negara-negara di dunia. Dalam usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia berstatus negara maju pada tahun 2020, teknologi maklumat (IT) telah dijadikan satu teras yang perlu dikuasai oleh semua lapisan masyarakat, ia tentu menimbulkan pelbagai reaksi sebelum diterima menjadi sebahagian daripada budaya hidup. Kefahaman masyarakat terhadap keperluan ICT di dalam kehidupan hari ini perlu dipertingkatkan. Ini memandangkan tanpa kefahaman yang jelas akan menjejaskan perkembangannya di Malaysia dan sekaligus memperlahankan usaha kerajaan untuk melahirkan masyarakat bermaklumat di Malaysia.

Akan tetapi kebanyakan institusi pendidikan di Malaysia yang terdapat pada hari ini masih mengamalkan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara konvensional. Suasana atau persekitaran pembelajaran yang melibatkan guru dan pelajar berinteraksi secara bersemuka. Kaedah yang tersebut masih lagi dipraktikkan di seluruh dunia tetapi telah ditambah nilainya dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara elektronik (e-pembelajaran)

Menurut Ismail Zain (1996) dalam Utusan Malaysia :
”Penggunaan komputer dalam pendidikan dapat dimanfaatkan melalui tiga komponen iaitu pengurusan, pentadbiran, penyelidikan serta proses pengajaran dan pembelajaran.” (16september 1996, m.s 27)

Apakah yang dimaksudkan dengan e-learning? Satu persoalan yang baik. Secara umum, majoriti di kalangan para pendidik ataupun mereka yang terlibat dalam bidang pendidikan di Malaysia bersetuju bahawa e-learning adalah sesuatu yang melibatkan komputer dan teknologi. Di Malaysia, e-learning telahpun berkembang sejak bermulanya era MSC (Malaysian Super Corridor) yang diumumkan pada 1 Ogos 1996 bekas Perdana Menteri Malaysia YB.Tun Dr Mahathir bin Mohamad pada ketika itu. Melalui projek ini, kerajaan telah mengorak langkah untuk memperkukuhkan asas bagi membentuk masyarakat dan ekonomi berteraskan pengetahuan. ( Malaysia, 1996).

Dengan kita memahami implikasi e-learning terhadap pengajaran akhlak dalam pendidikan islam ianya dapat membantu kita dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan islam keseluruhannya.

3. Definisi istilah


Pendidikan Islam:
Pendidikan secara dasarnya bermaksud perkara-perkara yang boleh memupuk seseorang insan ke arah kebaikan. Dari aspek dunia pendidikan pula, pendidikan islam boleh dikatakan mampu memupuk seseorang insan dalam domain kognitif, afektif dan psikomotor. Pendidikan islam pula bermaksud suatu mata pelajaran wajib yang diajar di sekolah rendah dan juga sekolah menengah bagi melahirkan insan yang baik dan beriman. Isi kandungan pendidikan islam itu sendiri juga menekankan aspek keimanan, kemanusiaan, kemasyarakatan dan kenegaraan.
Seperti mana Falsafah Pendidikan Islam menurut buku Ghazali Darussalam (2001:175) :
Pendidikan islam adalah suatu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian, dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan di akhirat.

Pembelajaran :

Menurut Atan Long (1982:9), pembelajaran merupakan satu proses yang bermula dengan penangkapan rangsangan yang diterima oleh pancaindera. Rancangan ini diproses dan disimpan sebagai pengalaman, seterusnya pengalaman yang tersimpan dapat dipergunakan untuk pencapaian matlamat dan untuk menyelesaikan masalah.
Menurut Zawawi Hj Ahmad (1990:226), proses pembelajaran itu terbahagi kepada tiga peringkat pengalaman iaitu yang pertama Pengalaman verbal atau lisan. Pengalaman jenis ini kurang berkesan dalam menolong murid-murid mengingati isi pembelajaran. Terutama bagi perkataan-perkataan baru yang tidak ada kaitan dengan pengetahuan sedia ada mereka. Kedua pula Pengalaman pengganti pengalaman nyata, iaitu pengalaman yang di capai melalui kata-kata atau penerangan yang disertai dengan bahan bantu mengajar yang mudah di fahami dan di hayati oleh para pelajar. dan yang terakhir pula Pengalaman nyata iaitu keberkesanan pengajaran yang mantap apabila para pelajar dapat mengalami dan menghayati pengalaman yang sebenarnya. Pengalaman ini akan meninggalkan kesan yang mendalam bagi pelajar yang mengalaminya.

Pengajaran:


Menurut Sharifah Alwiyah Alsagoff (1983:105) pengajaran ialah aktiviti atau proses yang berlaku bila pengajaran diadakan. Aktiviti seperti menyoal, menerangkan, mendengar dan pelbagai lagi aktiviti lain. Disamping itu tiap-tiap aktiviti ini juga boleh dilakukan oleh semua orang seperti ibu-bapa, peniaga, ataupun tokoh politik, akan tetapi yang membezakan mereka dengan pengajaran guru ialah tujuan pengajaran guru itu sendiri iaitu supaya muridnya belajar.
Menurut Isahak Haron dan Koh Boh Boon (1982:1), pengajaran ialah itu berasaskan tujuan, isi kandungan pelajaran dan kaedah-kaedah pengajaran yang tertentu.
Dalam artikel ini pengajaran dan pembelajaran yang dimaksudkan ialah pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam melalui penggunaan program E-Learning yang melibatkan teknologi dalam melaksanakan proses pembelajaran tersebut. Proses pembelajaran tradisional digantikan dengan proses pembelajaran moden agar menjadi lebih berkesan dan menarik. Walaupun menggunakan teknologi dalam proses pembelajaran ini, prinsip-prinsip pembelajaran seperti pembentukan pengalaman dan perubahan tingkahlaku tetap berlaku kepada pelajar.

E-Learning

E-learning merupakan satu inovatif pembangunan yang menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi untuk meningkatkan proses dan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Pelajar boleh belajar mengikut keselesaannya berdasarkan masa dan tempat pilihannya.
E-learning juga boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk pendidikan secara formal atau tidak formal yang terarah kepada satu set objektif pembelajaran yang ingin dicapai. Komunikasi secara terus antara guru dan pelajar serta pelajar bersama dengan kumpulan yang disokong pengajaran dan pembelajaran oleh teknologi maklumat dan komunikasi.
E-learning adalah sistem pendidikan yang menggunakan aplikasi elektronik untuk mendukung belajar mengajar dengan media internet, jaringan komputer, maupun komputer standalone [LearnFrame.Com, 2001].
Berdasarkan kepada pandangan tersebut, tidak dinafikan bahawa masyarakat dunia pada hari ini akan menggunakan sepenuhnya kemudahan teknologi bagi membantu dalam mempermudahkan lagi urusan-urusan seharian. Segalanya akan menjadi pantas, cekap dan efisien.

4. Apakah yang dimaksudkan dengan E-learning?

Bagi menjelaskan dengan terperinci apakah yang dimaksudkan dengan e-learning, akan diketengahkan 3 definisi.

Pertama, e-learning adalah pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi secara terarah guru (pendekatan sistem) atau terarah pelajar. Kedua, e-learning adalah pembelajaran yang menggunakan media digital dan rangkaian komputer untuk menghasilkan pembelajaran yang lebih berkesan terutama menggunakan komputer.
Ketiga, e-learning mempunyai ciri-ciri berikut:
- Teknologi elektronik sebagai bantuan
- Bahan yang direka dan dibina oleh pasukan pembina bahan yang profesional
- Kurikulum dan kursus yang disediakan dalam rangkaian/talian
- Sistem penilaian diurus oleh komputer
- Boleh belajar pada bila-bila masa dan tempat
- Pengurusan kursus yang efektif

E-learning juga boleh ditakrifkan sebagai pendekatan pembelajaran di mana pendidikan, latihan dan maklumat yang berstruktur disepadukan dan disampaikan oleh komputer melalui internet khususnya Web, atau dari cakera keras, CD, Pen Drive dan yang terkini ialah ”External Hard Disk” yang mempunyai kapasiti sehingga 500 gigabyte . Secara ringkasnya, e-learning ialah penyampaian pendidikan atau latihan melalui internet dengan menggunakan komputer. Skop penggunaannya sudah menjangkau lebih dari konsep pembelajaran konvensional satu masa dulu. E-learning bukan sekadar penggunaan power point untuk pengajaran dan pembelajaran (P&P) tetapi ia suatu pendekatan di mana interaksi pelajar dengan sistem serta instruktur diberi penumpuan sebaiknya.

Bagaimana e-learning boleh memberi kesan kepada pelajar terhadap pembelajaran akhlak dalam pendidikan islam.
Sebelum membincangkan dengan lebih lanjut kesan e-learning terhadap pengajaran akhlak ini, pemahaman mengenai konsep afektif dan psikomotor akan diterangkan di sini.

5. Aspek Afektif

Kehidupan manusia sebagai insan tidak dapat dipisahkan daripada mempunyai perasaan. Ada ketikanya kita merasa gembira, sedih, terharu kecewa dan sebagainya. Apabila seseorang melalui pelbagai pengalaman dalam hidupnya, dia akan mempunyai pandangan atau sikapnya tersendiri terhadap sesuatu perkara yang dialami dan ditemui. Perasaan, sikap dan nilai adalah perkara yang dipelajari dan berkembang dari semasa ke semasa serentak dengan perkembangan insan itu sendiri dalam pelbagai perkara. Jika kita berada dalam situasi yang sihat, maka persekitaran berkenaan sedikit sebanyak akan membentuk perasaan, sikap dan nilai yang positif. Begitu juga sebaliknya.

Objektif afektif mempunyai pertalian dengan perasaan, emosi, minat, sikap, penghargaan dan nilai. Dari segi praktiknya dalam bilik darjah, guru mungkin jarang menulisnya dalam buku rekod pengajaran objektif afektif berbanding objektif kognitif dalam bentuk perlakuan murid. Hal ini demikian kerana ketidakwujudan prosedur atau instrumen yang benar-benar sesuai untuk mengukur pencapaian objektif afektif.

Seperti objektif kognitif, objektif afektif juga boleh dikelaskan atau disusun mengikut peringkat penghayatan daripada yang paling rendah kepada peringkat yang paling tinggi seperti yang diutarakan oleh Bloom et al (1988) iaitu (i) penerimaan (ii) gerak balas (iii) penilaian (iv) organisasi dan (v) perwatakan.

6. Aspek psikomotor

Aspek psikomotor adalah berkaitan dengan pergerakan anggota fizikal. Guru-guru yang mengajar pendidikan islam akan mendapati kemahiran aplikasi yang baik adalah kemahiran mengaplikasi apa yang telah dipelajari semasa bersekolah dalam keadaan sebenar. Pada peringkat prasekolah dan sekolah rendah, kanak-kanak diasuh untuk bagi menguasai pergerakan yang biasa dalam kehidupan. Dalam pendidikan islam itu sendiri ada menekankan aspek perubahan tingkah laku pelajar dimana ianya perlu kepada tunjuk ajar dan bimbingan daripada guru itu sendiri. Ianya bermula dengan teori dan seterusnya berakhir dengan pengaplikasian dalam keadaan sepatutnya. Dengan adanya kemudahan e-Learning telah membantu para guru dalam mengajar topik – topik yang berkaitan dengan ibadah, akhlak, iaitu dalam topik akhlak islamiah seperti adab dengan ibu bapa, guru-guru, orang yang lebih tua dengan mereka dan sebagainya. Manakala dalam topik Ibadah pula seperti topik yang berkaitan dengan solat, wudhuk, haji, pengurusan jenazah dan sebagainya. Dengan adanya bantuan atau kemudahan e-Learning tersebut dapat menarik minat mereka untuk mengikuti apa yang diajar oleh guru semasa sesi pengajaran dan pembelajaran dan seterusnya mengaplikasikan ke dalam kehidupan mereka. Dari sini kita dapat melihat bagaimana kesan pengaplikasian teknologi khususnya e-learning banyak memberi kesan kepada perubahan psikomotor para pelajar dan dalam masa yang sama perubahan tingkah laku pelajar tersebut dapat membantu kepada perkembangan diri mereka ke arah yang lebih positif tidak kira sama ada dari segi afektif dan kognitif mereka.

8. Implikasi E-learning dalam Pendidikan Islam dari aspek Afektif dan Psikomotor
Apa juga kaedah atau pendekatan yang dilaksanakan bagi menyampaian isi kandungan oleh guru-guru samada sistem konvensional atau sistem-sistem yang lain, pengajaran dan pembelajaran yang mencapai objektif merupakan satu syarat utama bagi seorang guru melaksanakan tugasnya. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran oleh guru dapat dilihat kepada aspek perubahan yang berlaku pada diri pelajarnya. Sebagai contoh, apabila seseorang pelajar itu dapat mengupas semula isi kandungan pengajaran ataupun teori yang telah diberikan oleh guru dalam pengajaran dalam bentuk verbal dan tulisan, latihan yang diberi oleh guru dapat dijawab dengan betul dan praktikal yang tunjukkan dapat diaplikasikan dengan baik, maka dengan itu sememangnya berlaku perubahan dari aspek psikomotor oleh para pelajarnya melalui tingkahlaku, kemahiran atau lainnya yang berkaitan dengan teori yang diberikan sebelum itu. Ini bermakna guru tersebut telah berjaya dalam tugasnya dan cemerlang.

Bagi pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam yang menggunakan kaedah e-learning, elemen interaktif sangat diberi perhatian. Interaksi sangat penting kerana melaluinya pelajar akan mendapat maklumbalas dan seterusnya memberi respons yang sebaik-baiknya. Interaksi yang disediakan dalam e-learning adalah sangat positif di dalam usaha untuk membimbing dan memberi galakan serta menarik minat para pelajar. Berbanding di dalam sistem pengajaran dan pembelajaran secara konvensional, guru juga adalah manusia yang kadangkala tidak dapat mengawal emosi ketika marah. Yang pasti maklum balas yang negatif akan diterima oleh pelajar jika kesalahan yang sama sentiasa berulang kali. Dalam pembelajaran Pendidikan Islam melalui e-learning , pelajar boleh melaksanakan pembelajarannya pada masa-masa tertentu yang sesuai mengikut keperluannya. Melalui metod ini, pemikiran kritis dan kreatif itu boleh dijana dengan berkesan terhadap pengajaran dan pembelajaran dalam Pendidikan Islam. Melalui interaksi juga seseorang pelajar akan mencari maklumat selanjutnya untuk memenuhi keperluan dan kefahaman mereka sendiri.

Selain dari itu juga, sistem pembelajaran e-learning lebih menekankan kepada pembelajaran berasaskan tahap dan kemampuan pelajar. Konsep ini selari dengan konsep pembelajaran dari Imam Ghazali yang menganjurkan kepada pendidik agar tidak memberikan pembelajaran di luar kemampuan pelajar.
Satu lagi implikasi ialah e-learning terhadap pengajaran dan pembelajaran merupakan satu kaedah yang memudahkan perkongsian maklumat dan sumber pendidikan secara bijak. Pengajaran dan pembelajaran secara kolaboratif dan bersepadu adalah sesuatu yang digalakkan kerana dengan cara ini pendidikan akan menjadi lebih berkesan. Pengajaran dan pembelajaran diharap berlaku secara konstruktif. Bagi merealisasikan pembelajaran secara konstruktif ini, infrastruktur yang dibina hendaklah sesuai dan bermakna dari perspektif pendidikan.

Menurut . Wahyu binti Idrus dan Yahya Buntat (UTM). Penggunaaan sumber teknologi yang terancang, menarik dan isi pelajaran yang berkesan akan menghasilkan pelajar yang mempunyai ciri-ciri yang berikut:

1. pelajar yang lebih bertanggungjawap terhadap pelajarannya
2. pelajar yang boleh menentukan keperluan bahan untuk pembelajarannya
3. pelajar yang bebas melakukan carian maklumat mengikut keperluan, tahap pencapaian dan pengetahuan
4. pelajar yang dapat membina pengetahuan baru berasaskan kepada carian maklumat, komunikasi dua hala dan penemuan kendiri.

Dengan ciri-ciri menarik yang ada pada ‘e-learning’ serta minat pelajar terhadap fungsi-fungsi di dalam internet, maka sudah tiba masanya ianya digunakan dengan meluas bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.. Jika pelajar dapat dibimbing untuk menggunakan ‘e-learning’ dengan cara berfaedah maka ianya akan dapat membantu mengurangkan penggunaan elemen negatif yang lain.

Telah banyak kajian yang dilakukan terhadap kesan e-pembelajaran dalam pendidikan khususnya kepada guru-guru serta para pelajar dan bukti - bukti menunjukkan banyak impak positif boleh diperolehi melalui penggunaan medium elektronik, terutamanya komputer, dalam bilik darjah. Bagi tujuan perbincangan ini, saya ingin fokuskan kesan dan kaitan e-learning dengan kemahiran afektif dan psikomotor pelajar. Melalui e-learning, contohnya jika melibatkan penggunaan internet, pelajar perlu menggunakan kemahiran afektif mereka bagi menilai kesahihan, kerelevanan dan kebolehpercayaan sesuatu sumber-sumber atau bahan yang mereka perolehi.Kebijaksanaan mereka membuat keputusan terbaik melalui pertimbangan fikiran dan emosi akan membantu mereka memaksimumkan tahap pembelajaran serta melatih mereka untuk bertanggungjawab terhadap proses pembelajaran sendiri. Contohnya dalam pendidikan islam , guru meminta para pelajar untuk mencari maklumat yang berkaitan dengan sesuatu tajuk yang dipelajari contohnya mengenai sirah Rasulullah S.A.W. Pelajar mestilah menggunakan kemahiran afektif mereka untuk menilai kesahihan maklumat yang betul – betul sahih dan tidak menyeleweng daripada fakta yang sebenar mengenai sirah Rasulullah S.A.W.

E-learning dalam pendidikan islam juga dapat meningkatkan kemahiran psikomotor pelajar melalui pengaplikasian beberapa bentuk pengajaran di dalam kelas dalam situasi sebenar. contohnya bagi aspek ibadah dalam topik yang berkaitan pengurusan jenazah, guru akan menggunakan e-learning untuk menyampaikan isi pengajaran dalam pelbagai bentuk contohnya dalam bentuk grafik dan video. Dengan cara ini ianya boleh menarik minat para pelajar untuk mengikuti proses pengajaran tersebut dan dalam pada masa yang sama mereka akan lebih mudah untuk memahami isi pengajaran yang disampaikan oleh guru dalam ruang waktu yang tidak terbatas. Sekiranya mereka tidak mempunyai masa untuk memahami semasa pengajaran di dalam kelas, mereka boleh meneruskan pembelajaran mereka sendiri apabila berada di luar waktu persekolahan. Akan tetapi ini juga memerlukan pemantauan dari guru itu sendiri dalam memastikan objektif pengajarannya tercapai dan dalam masa yang sama memberi kesan kepada perubahan tingkah laku atau pun psikomotor mereka kepada yang lebih positif.

9. Kesimpulan


Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan secara e-learning semakin berkembang dengan pesat terutama di negara-negara maju di dunia dan bagi negara kita Malaysia perkembangannya banyak dilihat berfokus kepada institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Perkembangan ini sangat penting di negara kita kerana Malaysia ke arah e-ekonomy. Generasi muda seharusnya didedahkan dengan sistem pembelajaran secara individu. E-learning akan seterusnya membentuk kembali sistem pendidikan kita dan latihan-latihan yang diadakan oleh sektor swasta kepada sistem latihannya kepada pekerja adalah berbentuk e-learning. Ini dapat membantu mengurangkan kos dan pertambahan frekuensi kitaran latihan sebagai produk semakin singkat. Melalui e-learning sesiapa sahaja boleh belajar walau di mana sahaja mereka berada dan pada bila-bila masa.

Di akui bahawa perkembangan teknologi yang ada pada hari banyak membantu mempermudahkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran guru dan pelajar termasuk juga dalam Pendidikan Islam . Melalui sistem pembelajaran e-learning sebagai contoh, pelajar belajar secara individu serta berbincang secara kolaboratif berdasarkan kepada tajuk-tajuk yang telah ditetapkan. Melalui internet misalnya, begitu banyak sekali maklumat yang boleh diperolehi oleh pelajar. Rujukan boleh dibuat pada bila-bila masa mengikut kesesuaian masa belajar pelajar. Bersandarkan kepada hasil-hasil kajian yang telah dilaksanakan, telah menunjukkan dengan jelas bahawa e-learning merupakan sistem pembelajaran yang ideal dan sesuai dengan keperluan masyarakat masa kini. Semoga dengan adanya kemudahan e-Learning akan dapat memudahkan lagi pengajaran dan pembelajaran dalam Pendidikan Islam yang bukan sahaja dapat memudahkan para guru malahan para pelajar juga turut menerima implikasi daripada penggunaan e-Learning tersebut dan seterusnya dapat memacu sistem pendidikan di negara kita sejajar khususnya pendidikan islam supaya berkembang seiring dengan arus globalisasi.

Read More..

RPH PENDIDIKAN ISLAM TINGKATAN 3

Posted by ::ZAZ::

RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN

TINGKATAN : TIGA
MASA : 40 MINIT
TAJUK : SAIDATINA AISYAH BINTI ABU BAKAR R.A

OBJEKTIF PENGAJARAN :

Di akhir pembelajaran pelajar dapat :
• Menyatakan biodata Saidatina Aisyah binti Abu Bakar R.A
• Menjelaskan sifat-sifat mulia Saidatina Aisyah R.A
• Menjelaskan faktor keunggulan jati diri Saidatina Aisyah R.A
• Menghuraikan sumbangan Saidatina Aisyah R.A

FOKUS

PEMAHAMAN

• murid mengambil iktibar pengorbanan tokoh dalam penyebaran tokoh
• murid mengetahui riwayat hidup dan perjuangan saidatina aisyah

AMALAN

• mempamerkan sikap bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu

PENGHAYATAN

• sentiasa menjadikan tokoh wanita islam sebagai contoh dan ikutan dalam kehidupan seharian

PEMBUDAYAAN

• bersopan santun dan berbudi bahasa dengan guru

PRINSIP ISLAM HADHARI

• keimanan dan ketaqwaan kepada allah s.w.t
• penguasaan ilmu pengetahuan
• kehidupan berkualiti

PENGETAHUAN SEDIA ADA

• murid mengenali saidatina aisyah sebagai isteri rasulullah s.a.w
• murid telah menguasai kemahiran membaca dan menulis jawi
• murid telah dapat mengikut arahan


SET INDUKSI
( 5 MINIT )

GURU
1.Guru menayangkan video gambar – gambar orang yang bernama Aisyah .
2.Guru bersoal jawab dengan murid mengenai video tersebut.
3.Guru mengaitkan jawapan tersebut dengan tajuk pelajaran

PELAJAR
1.Para pelajar menonton video yang ditayangkan.
2.Para pelajar memberikan respon terhadap soalan guru.
3.Para pelajar mendengar penjelasan guru dengan teliti.

BBM
Video
Komputer

LANGKAH 1
(10 MINIT )

1.Biodata Saidatina Aisyah R.A.
2.Sifat – sifat mulia Saidatina Aisyah R.A.

AKTIVITI GURU
1.Guru menayangkan slide mengenai :
- Riwayat hidup Saidatina Aisyah R.A.
- Sifat – sifat mulia Saidatina Aisyah R.A.

2.Guru bertanyakan pelajar mengenai tokoh-tokoh yang telah dipelajari sebelum ini.

3.Guru menjelaskan kepada pelajar mengenai biodata Saidatina Aisyah R.A. dengan mengaitkan video yang telah ditayangkan sebelum ini.

4.Guru meminta pelajar menyatakan sifat – sifat mulia yang terkandung di dalam video tersebut

AKTIVITI PELAJAR
1.Pelajar memberi perhatian terhadap slide yang ditayangkan.

2.Segelintir pelajar menyatakan tentang beberapa tokoh yang telah dipelajari.

3.Pelajar mendengar penjelasan guru dengan penuh perhatian.

4.Para pelajar memberi respon dengan menjawab soalan tersebut.
Power point

BBM
Video
komputer


LANGKAH 2
(10 MINIT)
1.Faktor keunggulan jati diri Saidatina Aisyah R.A
2.Pengukuhan

AKTIVITI GURU
1.Guru membahagikan pelajar kepada beberapa kumpulan

2.Guru meminta setiap kumpulan menyatakan faktor-faktor keunggulan jati diri Saidatina Aisyah R.A

3.Guru meminta pelajar membentangkan hasil perbincangan di hadapan kelas.

4.Guru memberi respon terhadap pembentangan yang dilakukan

5.Guru menayangkan latihan pengukuhan berdasarkan slaid.

6.Guru bersoal jawab dengan pelajar.

AKTIVITI PELAJAR
1.Para pelajar masuk ke dalam kumpulan.

2.Pelajar berbincang di dalam kumpulan masing-masing.

3.Pelajar membentangkan hasil perbincangan kumpulan.

4.Pelajar mendengar dengan penuh teliti.

5.Pelajar menjawab soalan.

BBM
Kertas mahjong
Marker

LANGKAH 3
(10 MINIT)
1.Sumbangan Saidatina Aisyah R.A dan kesan keperibadian terhadap pembinaan tamadun.
2.Pengukuhan

AKTIVITI GURU
1.Guru membahagikan pelajar kepada beberapa kumpulan.

2.Guru meminta pelajar membincangkan tetntang sumbangan tokoh terhadap islam.

3.Guru memilih kumpulan secara rawak untuk membentangkan hasil perbincangan.

4.Guru menjelaskan sebahagian daripada kesan keperibadian tokoh yang unggul terhadap pembangunan tamadun islam pada hari ini dan meminta pelajar melengkapkan kesan-kesan berikut.

5.Guru menayangkan latihan berdasarkan slaid

AKTIVITI PELAJAR
1.Pelajar mengikut arahan guru.

2.Pelajar bebrbincang dalam kumpulan

3.Pelajar membentangkan hasil perbincangan kumpulan.

4.Pelajar member perhatian.

5.Para pelajar memberikan sepenuh perhatian terhadap penjelasan guru dan mencari kesan tambahan terhadap tugasan guru.

6.Para pelajar menjawab soalan.

BBM
Power point


PENILAIAN
(5 MINIT)
Kesimpulan pengajaran

AKTIVITI GURU
1.Guru menyoal pelajar secara rawak berkenaan tentang pembelajaran hari ini.

2.Guru meminta pelajar menjawab soalan-soalan mengenai pelajaran hari ini yang disediakan di powerpoint.

3.Guru membuat kesimpulan secara menyeluruh terhadap pembelajaran hari ini.

AKTIVITI PELAJAR
1.Pelajar memberi respon.

2.Pelajar menjawab soalan yang ditunjukkan di power point.

3.Pelajar member perhatian sepenuhnya.

BBM
Power point

Read More..

Penulisan puisi oleh ulama Asia Tenggara

Posted by ::ZAZ::

TIADA dapat dinafikan bahawa apabila kita membicarakan syair dan nazam di Asia Tenggara, sebahagian besar para sarjana sastera berpendapat telah dimulai oleh Sheikh Hamzah al-Fansuri.

Sama ada pada satu sudut lain, ada pihak yang memandang beliau sebagai seorang zindiq kerana faham wihdah al-wujudnya, mahupun golongan pengkagum melihat bahawa beliau adalah seorang siddiq. Bagi yang pro atau kontra kepadanya, mereka turut bersependapat bahawa beliau adalah seorang cerdik cendekiawan Islam-Melayu, atau dengan perkataan lain, Hamzah al-Fansuri adalah seorang ulama sufi.

Peranan para ulama silam Melayu di bidang penulisan dalam bentuk prosa ataupun puisi memang terbukti dengan peninggalan-peninggalan mereka yang cukup banyak dan sangat berpengaruh terhadap rumpun Melayu.

Karya-karya mereka dalam bentuk prosa di sana sini telah diperkenalkan, akan tetapi mengenai senarai nama para ulama dan puisi-puisi Melayu (terutama genre syair dan nazam) gubahan ulama kita secara lengkap belum pernah diperkenalkan.

Kumpulan puisi Raja Ali Haji telah diusahakan oleh Abu Hassan Sham yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Kumpulan puisi Sheikh Ahmad al-Fathani pula telah selesai penyusunannya oleh penulis sendiri, yang dapat dirujuk buku berjudul Sheikh Ahmad al-Fathani: Pemikir Agung Melayu dan Islam, Jilid 2, yang diterbitkan oleh Khazanah Fathaniyah.

Umum mengetahui bahawa Raja Ali Haji dan Sheikh Ahmad al-Fathani adalah ulama. Apabila kita kaji dengan teliti bahawa puisi Melayu ada yang digubah oleh ulama dan ada pula yang digubah oleh orang biasa.

Di antara mereka pula ada yang kita ketahui identitinya sebagai seorang ulama, tetapi tidak kurang pula yang tidak dapat dikesan. Adakah dia seorang ulama ataupun bukan, walaupun sesetengah namanya diketahui.

Artikel kali ini cuba memperkenalkan beberapa nama penggubah syair/nazam Melayu yang telah dikenalpasti identitinya sebagai seorang ulama.

Ulama penggubah puisi abad 16-17

Sebagaimana disebutkan di atas bahawa penggubah syair pertama dalam bahasa Melayu adalah Sheikh Hamzah al-Fansuri. Tokoh ini sangat banyak diminati oleh para pengkaji/sarjana, baik pengkaji/sarjana tempatan mahupun dunia luar terutama orang Barat.

Sungguhpun demikian masih dianggap sukar mendapatkan karya-karya Sheikh Hamzah al-Fansuri dalam bentuk tulisan Melayu/Jawi, sama ada dalam bentuk manuskrip mahupun berupa bahan cetakan.

Bagi penulis, menemukan atau mengesan manuskrip karyanya lebih mudah berbanding karya-karya dalam bentuk cetakan Melayu/Jawi.

Sampai sekarang keseluruhan puisi Hamzah Fansuri yang terkumpul dalam sebuah buku yang lengkap belum ditemui, walaupun sebuah buku yang padat membicarakan pelbagai aspek Hamzah al-Fansuri telah ditulis oleh Syed M. Naquib al-Attas.

Ulama penggubah puisi abad ke-18

Ulama yang sezaman dengan Hamzah al-Fansuri mahupun sesudahnya seperti Sheikh Syamsuddin al-Sumatra-i, Sheikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri dan lain-lain walaupun diketahui banyak menghasilkan karya dalam corak prosa, tetapi tidak dapat dikesan karya mereka yang bercorak puisi.

Hingga abad ke-18, zaman kemunculan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, beliau ini banyak menghasilkan karya bercorak prosa, tetapi hanya sedikit saja menghasilkan karya bercorak puisi.

Karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang bercorak puisi dari awal karya hingga akhir hanya sebuah sahaja, iaitu yang diberi judul 'Iqdu al-Jawahir, berupa syair mengenai akidah. Syair ini beliau syarah sendiri sehingga menghasilkan sebuah kitab yang besar diberi judul Ward al-Zawahir bi Alfaz 'Iqdi al-Jawahir.

Di sini ada perbezaan dengan Ruba'i Hamzah Fansuri, tidak disyarah oleh Hamzah al-Fansuri sendiri tetapi disyarah oleh Sheikh Syamsuddin Sumatra-i.

Selain itu, dari karyanya yang bercorak prosa hanya banyak terdapat dalam Jam'u al-Fawaid saja. Di beberapa tempat lain pula terdapat sisipan beberapa puisi mengenai shalawat dan lain-lain.

Selain Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ulama yang seangkatan dengan beliau juga tidak dapat dikesan sebagai penggubah puisi, sehingga muncul peringkat murid beliau, ialah Raja Ali Haji, pujangga bahasa Melayu yang terkenal. Sewaktu Raja Ali Haji bersama ayahnya ke Mekah tahun 1243 H/1827 M, beliau sempat belajar daripada Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Jika dibandingkan beberapa baris bahagian mukadimah Gurindam Dua Belas Raja Ali Haji, terdapat persamaan maksudnya dengan mukadimah syair Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam 'Iqdu al-Jawahir.

Bagaimanapun, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani lebih banyak dibicarakan pada sektor ketokohannya sebagai ulama, sedang Raja Ali Haji lebih banyak dibicarakan sebagai tokoh bahasa Melayu.

Sebagaimana Sheikh Hamzah al-Fansuri, demikianlah Raja Ali Haji sudah cukup banyak dibicarakan. Setiap kali seminar bahasa, terlalu banyak orang membicarakan tentang ulama dan tokoh besar golongan bangsawan yang berasal dari Riau itu.

Pengumpulan puisi yang dimuat dalam satu buku khas nampaknya Raja Ali Haji mendahului tokoh-tokoh lainnya.

Buku tersebut diberi judul Puisi-puisi Raja Ali Haji, oleh Abu Hassan Sham, merupakan penerbitan pertama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tahun 1993.

Buku tersebut juga merupakan salah satu projek Bahagian Sastera DBP. Buku yang tebalnya 803 halaman termasuk halaman Bibliografi dan Indeks itu mungkin buku pertama hasil usaha pengumpulan hasil puisi Melayu yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh sasterawan kita yang terkenal.

Demikian nama Raja Ali Haji menjulang tinggi sejak beliau hidup, hingga masih segar di ingatan para pencinta sastera klasik dunia Melayu pada zaman moden sehingga kini.

Sezaman dengan Raja Ali Haji ialah Saiyid Muhammad bin Zainal Abidin al-Aidrus (1795 - 1878 M) yang berasal dari Terengganu. Beliau ini juga sempat belajar kepada Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Mekah.

Datuk Misbaha dalam tulisannya menyebut bahawa Saiyid Muhammad al-Aidrus adalah sebagai 'Pelopor dan Bapa Kesusasteraan Melayu Terengganu' (majalah Pesaka, 1983:87).

Selanjutnya digelar juga dengan Tukku Tuan Besar. Beliau adalah seorang ulama yang mengarang dalam bentuk prosa dan puisi. Mengenai puisinya yang paling popular dan berpengaruh ialah berjudul Kanzil Ula.

Harun Mat Piah dalam bukunya Puisi Melayu Tradisional (1989) telah membahas kandungan Kanzil Ula dan Jauharus Saniyah secara ilmiah dan panjang lebar, kedua-dua judul itu dikategorikan karya tersebut sebagai nazam.

Kedua-dua ulama penggubah puisi peringkat murid Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani itu, Raja Ali Haji (Riau) lebih banyak mendapat liputan penulisan antarabangsa dan dunia Melayu jika dibandingkan dengan Tukku Tuan Besar (Terengganu) yang masih baru diperkenalkan oleh para sarjana dan pengkaji.

Ulama-ulama penggubah puisi abad ke-19

Pada abad ke-19, barulah ramai ulama dunia Melayu menyerlahkan diri mereka yang berperanan aktif sebagai penggubah puisi Arab dan Melayu.

lSheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani,

lSheikh Muhammad Zainuddin al-Sumbawi,

lSheikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi (Aceh),

lSheikh Muhammad Azhari bin Abdullah al-Falimbani,

lSheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga (Riau),

lSheikh 'Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani (Pontianak),

lSheikh Muhammad Tahir Jalaluddin al-Minkabawi,

lHaji Muhammad Husein bin Abdul Latif al-Fathani,

lHaji Abdur Rauf Melaka,

lSheikh Muhammad Shalih al-Fathani

lRaja Haji Muhammad Sa'id Riau.

Maklumat beberapa puisi yang telah dihasilkan oleh ulama-ulama yang tersebut diringkaskan sebagai yang tersebut di bawah ini:

Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani

Hamzah al-Fansuri dan Raja Ali Haji kedua-duanya adalah ulama Melayu merupakan lambang terbesar penggubah puisi Melayu pada zamannya. Maka demikian halnya Sheikh Ahmad al-Fathani adalah lambang terbesar dalam hal yang sama pada abadnya.

Bahkan ketiga-tiga ulama dan tokoh yang tersebut memang merupakan penggubah puisi Melayu yang produktif, meninggalkan hasil gubahan puisi yang terbanyak jika dibandingkan dengan semua tokoh Melayu setiap zaman dari dulu hingga kini.

Bezanya hanyalah Hamzah al-Fansuri dan Raja Ali Haji telah banyak diperkenalkan, sedang Sheikh Ahmad al-Fathani belum begitu banyak.

Ada pun khas mengenai sejarah hidup serta puisi-puisi gubahan Sheikh Ahmad al-Fathani telah penulis kumpulkan dan dimuat dalam buku Sheikh Ahmad al-Fathani: Pemikir Agung Melayu dan Islam, Jilid 1 dan 2.

Dengan diterbitkan buku tersebut, bererti merupakan buku yang kedua kumpulan puisi Melayu sesudah buku Puisi-puisi Raja Ali Haji yang telah disebutkan di atas.

Raja Ali Haji hidup antara tahun 1809 - 1870 M, manakala Sheikh Ahmad al-Fathani pula hidup antara tahun 1272 H/1856 M - 1325 H/1908 M.

Ini bererti sewaktu Raja Ali Haji wafat, Sheikh Ahmad al-Fathani berusia sekitar 14 tahun. Dengan demikian, secara tidak langsung Sheikh Ahmad al-Fathani merupakan penyambung aktiviti bahasa dan sastera yang dijalankan oleh Raja Ali Haji. Ini bererti bahawa dunia Melayu tidak pernah kekeringan tokoh penyair atau penggubah puisi.

Puisi Sheikh Ahmad al-Fathani yang pertama dalam bahasa Melayu bercorak nazam ditulis dalam usia 15 tahun, pada tahun 1287 H, diberi judul Nazam Nuril Anam ditulis sewaktu berada di dalam Masjidil Haram, Mekah.

Karya puisi beliau yang pertama dalam bahasa Arab ialah Jumanat at-Tauhid (diselesaikan di Mesir, 1293 H/ 1876 M), ditulis dalam Masjid Jamik Al-Azhar, Mesir.

Nazam Nuril Anam ditinjau dari segi genre nazam banyak persamaan model susunan dan gaya bahasanya dengan Kanzil Ula karya Tukku Tuan Besar Terengganu, tetapi jika ditinjau dari segi kandungan maka Nazam Nuril Anam jauh lebih lengkap daripada Kanz al-'Ula. Nazam Nuril Anam Sheikh Ahmad al-Fathani membicarakan mulai kelahiran Nabi Muhammad SAW dan menyentuh hampir keseluruhan aspek Islam, sedangkan Kanzil Ula Tukku Tuan Besar Terengganu yang dibicarakan hanya di persekitaran riwayat kelahiran Nabi Muhammad SAW saja.

Keseluruhan puisi Sheikh Ahmad al-Fathani, baik berbahasa Arab mahupun bahasa Melayu yang banyak disiarkan dalam hampir semua kitab yang ditashihnya, diletakkan di bahagian depan ataupun di bahagian belakang penerbitan itu. Selain itu ada pula yang masih dalam bentuk manuskrip.

Sheikh Muhammad Zainuddin al-Sumbawi

Beliau ini adalah seorang ulama yang berasal dari Sumbawa (Indonesia) yang tinggal di Mekah dan mengajar di Masjid al-Haram, Mekah. Ditinjau dari segi sejarah perkembangan Islam di Asia Tenggara beliau adalah termasuk ulama dan tokoh penting, tetapi ditinjau dari segi seorang penyair tidaklah begitu menonjol. Hanya sedikit puisinya dapat disemak dalam sebuah karyanya yang berjudul Sirajul Huda.

Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi

Beliau adalah seorang ulama yang berasal dari Aceh. Kurang begitu jelas apakah ada dua orang yang bernama Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib itu, kerana selain disebutkan berasal dari Aceh ada pula yang di hujung namanya memakai nama "al-Minankabawi".

Baik yang memakai nama "al-Asyi" (pada semua kitab karyanya), mahupun yang memakai "al-Minankabawi" (dalam surat menyurat.

Nama sama, tetapi di hujung berlainan. Namun kedua-duanya ada hubungan dengan aktiviti Sheikh Ahmad al-Fathani.

Ulama bernama Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi (di Mekah) dilantik oleh Sheikh Ahmad al-Fathani sebagai pentashih kitab Melayu/Jawi pada saksi yang dikarang oleh ulama-ulama Aceh.

Pada kitab-kitab yang ditashihnya itulah kita dapat mengenal beberapa puisi Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi. Bagi yang memakai nama "al-Minankabawi", di hujung nama pula ditugaskan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani sebagai Rais Thalabah (Mahasiswa) Melayu di Mesir.

Namun penulis lebih cenderung beranggap bahawa Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib yang berasal dari Jawi itu hanya satu orang sahaja, walaupun di hujung nama berbeza. Puisi-puisi Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi terdapat pada cetakan Jam'u Jawami' al-Musannafat, cetakan Taj al-Muluk, cetakan Muqadimat al-Mubtadiin dan lain-lain.

Sheikh Muhammad Azhari bin Abdullah al-Falimbani

Beliau adalah ulama yang berasal dari Palembang, merupakan ulama produktif dalam penulisan sesudah Sheikh Abdus Samad al-Falimbani yang terkenal itu. Sheikh Abdus Samad al-Falimbani juga menghasilkan puisi sama ada bahasa Melayu, mahupun bahasa Arab, berbeza dengan Sheikh Muhammad Azhari al-Falimbani bahawa beliau menghasilkan puisi dalam bahasa Melayu saja.

Puisi-puisi Sheikh Muhammad Azhari al-Falimbani terdapat dalam karyanya Badi'uz Zaman. Puisi-puisi tersebut telah penulis transliterasi dan dimuat dalam buku Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani: Shufi dan Jihad Dunia Melayu (cetakan 1995).

Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga

Ulama yang berasal dari Riau ini adalah seorang tokoh bahasa Melayu yang cukup terkenal di Mekah pada zamannya sehingga beliau digelar 'Qus Bahasa Melayu'.

Beliau menghasilkan beberapa buah karangan dalam bentuk prosa, dan puisi-puisinya. Hampir semua karyanya dalam bentuk prosa ada dalam simpanan penulis, tetapi belum ditemui yang berupa puisi, sungguhpun dikatakan beliau banyak menghasilkan karangan berbentuk puisi.

Sheikh 'Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani

Beliau adalah murid Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, yang banyak menghasilkan karya. Puisi-puisi Sheikh 'Utsman al-Funtiani ditemui dalam karyanya yang berjudul Fath al-Makkah.

Ada yang merupakan terjemahan dari bahasa Arab ke bahasa Melayu, tetapi sajak pada rima akhir setiap puisi tetap dikekalkan. Ada pula merupakan ciptaan sendiri bukan terjemah.

Keterbatasan ruangan ini mengehadkan perbicaraan ini dibicarakan sepenuhnya. Maka ia dilanjutkan pada ruangan akan datang dengan memperkenalkan pula ulama-ulama lain yang turut terlibat dalam penulisan puisi di Asia Tenggara.

Selebihnya yang akan dibicarakan adalah Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin al-Minkabawi, Haji Muhammad Husein bin Abdul Latif al-Fathani, Haji Abdur Rauf Melaka, Sheikh Muhammad Shalih al-Fathani dan Raja Haji Muhammad Sa'id Riau.


Read More..